BUKIT MERTAJAM: Polis menahan sembilan individu susulan kematian seorang bayi lelaki berusia 12 bulan yang maut dipercayai  akibat didera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita warga tempatan berusia 16 hingga 48 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

Jelasnya, penahanan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ)  yang memaklumkan menerima pesakit yang mempunyai kesan dera kira-kira jam 7 malam Sabtu.

Bayi warga tempatan berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, bayi lelaki itu telah dibawa ke hospital oleh seorang lelaki yang tidak dikenali berusia lingkungan 30-an.

"Lelaki itu memberitahu bayi itu telah pengsan dan memerlukan rawatan sebelum beredar  meninggalkan kawasan hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cheng San berkata, susulan daripada insiden itu polis telah  menahan sembilan individu di sekitar Seberang Perai semalam.

"Salah seorang daripada sembilan suspek yang ditahan mempunyai lima rekod jenayah dalam pelbagai kesalahan," katanya.

Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk tujuan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Cheng San berkata berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 16 tahun itu merupakan ibu kepada kanak-kanak malang tersebut yang tidak lagi bersekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Katanya remaja itu meletakkan anaknya untuk dijaga teman lelakinya berusia 34 tahun ketika dia keluar bekerja dan lelaki yang tidak bekerja itu disyaki suspek utama dalam kes ini.

"Selain itu, kami turut menahan seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun iaitu rakan kepada ibu mangsa dan nenek kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya siasatan polis juga mendapati nenek kanak-kanak itu sudah lama mengenali suspek utama dan tahu mangsa dijaga olehnya ketika ibu mangsa keluar bekerja.

Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan usus pecah dipercayai dipijak dan terdapat kesan pukul.

"Semua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.